SWISS INNOVATION CHALLENGE ASEAN 2021 PROGRAM

SWISS Innovation Challenge Asean (SIC Asean) 2021/2022 adalah program anjuran Fakulti Keusahawanan & Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama University of Applied Sciences and Arts Northwestern Switzerland (FHNW), DRB-Hicom University of Automotive Malaysia, Putra Business School (PBS), dan Management &Science University (MSU). Program ini bertujuan untuk membantu usahawan dan bakal usahawan berasaskan inovasi perniagaan dan pembangunan komersial. Para peserta dalam pertandingan ini adalah terdiri daripada SME, syarikat permulaan dan pelajar institusi pengajian tinggi daripada negara ASEAN.

Turutan peringkat dalam SIC Asean adalah sejajar dengan tiga langkah dalam pelaksanaan projek inovasi iaitu melibatkan penerangan berkaitan inovasi dan model perniagaan, transposisi inovasi kepada pelan perniagaan dan pelan pelaksanaan. Projek “Integrated Kenaf Bioprocessing System – BioZyme Ultimate Debark Unit (B.U.D.U) telah terpilih untuk menyertai SWISS Innovation Challenge Asean (SIC Asean) bagi kategori SIC Open.

Setiap peserta akan diberikan jurulatih untuk menggilap idea inovasi perniagaan bagi setiap penilaian pitching. Selain latihan, semua peserta juga akan menjalani sesi latihan yang dikendalikan oleh pakar pada setiap minggu bermula pada 8 November 2021 sehingga 11 April 2022. Sesi latihan ini adalah untuk memberi pengetahuan tambahan kepada para peserta untuk mempersiapkan diri bagi sesi pitching.

Majlis perasmian Swiss Innovation Challenge Asean 2021/2022 telah diadakan pada 8 Disember 2021 beserta dengan sesi pitching kali pertama iaitu pada 8 dan 9 Disember 2021. Sesi pitching kali kedua akan berlangsung pada 2-3 Mac 2022. Antara sesi latihan yang telah diadakan sepanjang bulan November 2021 sehingga Februari 2022 adalah melibatkan "Business Model Canvas" (Prof. Dr Mohd Hassan Mohd Osman), "Innovative Digital Marketing Strategy" (Ms Shanti Subramaniam), "Business Model Innovation" (Mr Stefan Philppi), "Business Strategy and Performance" (Mr Robest Yong) dan "Intellectual Property" (Prof. Dr Ida Madieha).

Ts Dr Mardawani Binti Mohamad